Kita sedang berdepan dengan satu persoalan yang jauh lebih besar daripada sekadar kes buli, pergaduhan atau jenayah di sekolah.
Bagaimana kita mahu memastikan anak-anak kita benar-benar selamat ketika mereka berada di tempat yang sepatutnya paling selamat untuk mereka — sekolah?
Kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan dengan pelbagai kes serius melibatkan buli, keganasan dan kehilangan nyawa. Setiap kali sesuatu tragedi berlaku, kita bersimpati, kita marah, kita mencari punca dan kita berjanji untuk memperbaiki keadaan.
Tetapi persoalannya, berapa banyak lagi tragedi perlu berlaku sebelum sistem pencegahan yang lebih moden, terkini dan menyeluruh benar-benar dilaksanakan?
Dalam era teknologi hari ini, kita tidak sepatutnya hanya bergantung kepada laporan selepas sesuatu kejadian berlaku.
Kita perlu bergerak daripada reaktif kepada pencegahan. CCTV bukan sekadar untuk melihat — ia boleh menjadi alat pencegahan. Kerajaan wajar mempertimbangkan pelaburan besar dalam sistem keselamatan digital di sekolah, termasuk pemasangan CCTV di kawasan-kawasan strategik. Namun, CCTV moden tidak sepatutnya sekadar menjadi kamera yang merakam video.
Dengan teknologi Artificial Intelligence (AI) dan video analytics, sistem boleh membantu mengenal pasti corak tingkah laku yang luar biasa dan berpotensi berbahaya.
Contohnya, pergaduhan atau pergerakan agresif, sekumpulan pelajar mengepung seorang pelajar, pergerakan luar biasa di kawasan yang sepatutnya kosong, kejadian jatuh atau kecemasan, individu memasuki kawasan larangan, serta tingkah laku yang menunjukkan kemungkinan berlaku buli atau ancaman keselamatan.
Apabila algoritma mengesan sesuatu yang luar biasa, sistem boleh memberikan early warning kepada pihak sekolah untuk melakukan pemeriksaan segera. Ini bukan bermaksud AI menggantikan guru, pengawal keselamatan atau pihak berkuasa. Sebaliknya, AI menjadi lapisan tambahan keselamatan.
Bayangkan jika sebuah sekolah mempunyai pusat pemantauan keselamatan digital. Jika sistem mengesan situasi yang berpotensi menjadi pergaduhan, amaran boleh dihantar kepada pegawai keselamatan atau pentadbir sekolah. Jika berlaku insiden serius, rakaman boleh membantu pihak sekolah dan penguat kuasa memahami apa yang sebenarnya berlaku.
Lebih penting lagi, data daripada sistem tersebut boleh digunakan untuk mengenal pasti hotspot keselamatan — contohnya lokasi yang kerap berlaku buli, kawasan yang kurang pengawasan atau waktu tertentu yang mempunyai risiko lebih tinggi.
Maka tindakan pencegahan boleh dibuat lebih awal. Tetapi teknologi mesti datang bersama tadbir urus. Pelaksanaan sistem seperti ini mestilah dibuat dengan penuh tanggungjawab. Privasi pelajar, perlindungan data, kawalan akses rakaman dan penggunaan teknologi pengecaman wajah perlu mempunyai garis panduan yang jelas. Teknologi tidak boleh digunakan untuk mengawasi anak-anak secara berlebihan. Prinsipnya mudah iaitu pantau untuk melindungi, bukan mengintip.
Setiap sekolah juga perlu mempunyai SOP yang jelas apabila sistem mengeluarkan amaran. AI hanya memberi isyarat atau risiko; keputusan dan tindakan akhir tetap perlu dibuat oleh manusia yang bertanggungjawab.
Kini, sudah tiba masanya keselamatan sekolah menjadi pelaburan nasional. Kerajaan membelanjakan sejumlah besar wang untuk pelbagai pembangunan fizikal dan digital. Maka, kita juga perlu bertanya, berapakah nilai sebuah nyawa anak kita? Kos membina sistem keselamatan mungkin besar. Tetapi kos sebuah keluarga kehilangan anak jauh lebih besar dan tidak mungkin boleh diukur dengan wang.
Jika teknologi boleh membantu kita mencegah walaupun satu tragedi, pelaburan itu sudah mempunyai nilai yang sangat besar. Malaysia perlu melihat keselamatan sekolah sebagai satu national security and child protection agenda, bukan sekadar isu disiplin sekolah.
Jangan tunggu kes seterusnya. Kita tidak mahu setiap kali berlaku tragedi, kita hanya bertanya, “Mengapa tiada siapa yang nampak?”
Pada masa hadapan, kita sepatutnya mempunyai sistem yang membantu menjawab, “Sistem sudah mengesan risiko — dan tindakan telah diambil sebelum ia menjadi tragedi.”
Anak-anak kita pergi ke sekolah untuk belajar, membina masa depan dan mengejar cita-cita. Mereka berhak untuk pulang ke rumah dengan selamat. Kerajaan, sekolah, ibu bapa, komuniti dan sektor teknologi perlu bergerak bersama.
Sudah tiba masanya kita membina Sekolah Selamat Digital Malaysia — sekolah yang bukan sahaja pintar dari segi akademik, tetapi juga pintar dalam mencegah buli, keganasan dan ancaman keselamatan.
Jangan hanya bertindak selepas tragedi. Gunakan teknologi untuk mencegah tragedi sebelum ia berlaku kerana keselamatan anak-anak bukan perbelanjaan. Ia adalah pelaburan paling penting untuk masa depan Malaysia.
















