spot_img
spot_img

Banteras “Sakau” Mesti Tegas, Tetapi Jangan Sampai Dunia Perniagaan Hilang Keyakinan

spot_img

Malaysia memerlukan usaha giat dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Tiada siapa yang patut mempertikaikan prinsip itu.

Wang rakyat mesti dilindungi. Kontrak kerajaan mesti bersih. Pegawai yang menyalahgunakan kuasa perlu dikenakan tindakan dan syarikat yang melakukan penipuan atau rasuah juga tidak boleh dilindungi.

Operasi penguatkuasaan kebelakangan ini menunjukkan tindakan terhadap sektor awam dan swasta memang sedang dijalankan. Sebagai contoh, dalam siasatan berkaitan tuntutan palsu Daya Kerjaya 2.0, SPRM melaporkan 81 kertas siasatan dibuka melibatkan 143 syarikat dan 98 individu ditahan.

- Advertisement -

Namun, dalam usaha membanteras “sakau”, ada satu perkara yang kerajaan juga perlu jaga, iaitu jangan sampai persepsi terhadap penguatkuasaan itu sendiri menjadi masalah kepada ekonomi serta perniagaan.

Rakyat mahu “sakau” dibanteras. Tetapi rakyat juga mahu ia dilakukan secara adil.

Perkara yang semakin menjadi perbualan masyarakat ialah persepsi bahawa tindakan penguatkuasaan kelihatan tertumpu kepada kelompok, bangsa atau pihak tertentu sahaja.

- Advertisement -

Persepsi ini belum tentu menggambarkan keseluruhan fakta sesuatu kes. Seseorang yang disiasat juga belum bermaksud bersalah, manakala seseorang yang didakwa masih mempunyai hak untuk membela diri di mahkamah.

Tetapi dalam sebuah negara yang mahu menarik pelaburan dan membangunkan ekonomi, persepsi terhadap konsistensi penguatkuasaan juga mempunyai nilai ekonomi.

SPRM sendiri pernah menegaskan bahawa siasatan dan pendakwaan perlu berdasarkan bukti, bukan persepsi. Dalam kenyataan pada Julai lalu, SPRM turut menjelaskan bahawa pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya boleh dikenakan tindakan, tertakluk kepada bukti yang mencukupi.

Kesan yang mungkin lebih besar daripada yang kita sangka, ialah apabila orang yang baik pun akan takut untuk berniaga. Dunia perniagaan memerlukan keberanian untuk membuat keputusan. Para usahawan perlu, berunding dengan kerajaan, menyertai tender, membuat JV (joint venture), menerima projek, mendapatkan pembiayaan, bekerjasama dengan GLC, melabur dalam teknologi, mengambil risiko dan berurusan dengan pegawai kerajaan.

Tetapi jika suasana perniagaan menjadi terlalu tidak pasti, sebahagian usahawan mungkin mengambil pendekatan, “lebih baik jangan buat daripada nanti kena.” Ini bukan budaya ekonomi yang sihat.

Kita mahu membanteras rasuah, tetapi kita tidak mahu mewujudkan keadaan di mana usahawan yang sah dan mematuhi undang-undang takut untuk bekerjasama dengan kerajaan.

Lebih membimbangkan jika pegawai kerajaan pula menjadi terlalu takut membuat keputusan kerana bimbang setiap keputusan komersial yang dibuat hari ini akan dipersoalkan beberapa tahun kemudian.

Akhirnya kerajaan akan lambat membuat keputusan, swasta lambat melabur, projek lambat berjalan dan ekonomi kehilangan momentum.

Kerjasama kerajaan-swasta tidak boleh mati kerana ketakutan. Malaysia sedang bercakap tentang ekonomi digital, AI, TVET, infrastruktur, pendidikan, kesihatan, tenaga hijau dan pelbagai sektor strategik.

Sebahagian besar pembangunan ini memerlukan kerjasama kerajaan dan sektor swasta. Kerajaan mempunyai dasar, tanah, regulasi, data dan akses kepada rakyat. Manakala swasta mempunyai modal, teknologi, kepakaran, inovasi dan kecekapan operasi.

Gabungan kedua-duanya boleh menghasilkan sesuatu yang kerajaan atau swasta mungkin sukar lakukan secara bersendirian. Tetapi kerjasama ini memerlukan trust.

Jika setiap hubungan kerajaan-swasta dilihat dengan syak wasangka sebelum fakta lengkap diperoleh, pihak swasta mungkin menjadi terlalu berhati-hati untuk mengambil bahagian. Sebaliknya, kerajaan juga boleh menjadi terlalu defensif dalam membuat keputusan. Dalam keadaan itu, bukan rasuah sahaja yang kita berjaya kurangkan. Kecekapan ekonomi juga mungkin boleh berkurang.

Kita perlu bezakan “penguatkuasaan” dengan “menghukum”. Ini perkara yang sangat penting. Penguatkuasaan yang baik bukan bermaksud sebanyak mungkin orang perlu ditangkap. Ia mesti berdasarkan kes yang mempunyai asas disiasat, bukti dikumpulkan,kes yang mempunyai bukti mencukupi dibawa ke proses pendakwaan, dan keputusan akhirnya ditentukan mengikut undang-undang.

Kerajaan sendiri sebelum ini menegaskan kepentingan siasatan yang bebas, telus dan menyeluruh. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata siasatan perlu diberi ruang untuk berjalan secara bebas, telus dan komprehensif mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.

Itulah prinsip yang perlu dipertahankan.

Satu lagi cabaran ialah apabila isu rasuah mula dilihat melalui lensa politik. Jika sesuatu kes berlaku kepada kumpulan politik A, penyokong kumpulan B mungkin berkata:

“Bagus, akhirnya mereka kena.”

Apabila kumpulan B pula disiasat, penyokong A mungkin berkata:

“Ini semua politik.”

Akhirnya, kedua-dua pihak tidak lagi bercakap mengenai bukti. Mereka bercakap mengenai siapa yang kena. Ini sangat berbahaya kerana agenda membanteras rasuah sepatutnya lebih besar daripada mana-mana kerajaan, parti atau tokoh politik. Rasuah tidak sepatutnya mempunyai warna politik.

Salah tetap salah, walaupun orang kita. Benar tetap benar, walaupun orang yang kita tidak suka.

“Kalau geng kita, okay. Kalau bukan geng kita, kena dakwa” — persepsi inilah yang mesti dielakkan

Inilah persepsi yang kerajaan perlu hapuskan.

Bukan kerana persepsi itu semestinya benar dalam setiap kes, tetapi kerana persepsi sedemikian boleh merosakkan kepercayaan terhadap institusi.

Jika masyarakat mula percaya bahawa penguatkuasaan bergantung kepada siapa seseorang itu, maka apabila tindakan diambil terhadap mana-mana individu, sebahagian masyarakat mungkin terus mempersoalkan motifnya.

Sebaliknya, jika standard penguatkuasaan konsisten, kerajaan akan mempunyai asas yang lebih kukuh untuk berkata:

“Kami tidak melihat siapa orangnya. Kami melihat apa yang berlaku dan apa yang dapat dibuktikan.” Inilah yang sepatutnya menjadi standard.

Kerajaan juga perlu melindungi “good faith business”. Tidak semua kesalahan dalam dunia perniagaan adalah rasuah. Ada perbezaan antara penipuan yang disengajakan, rasuah, salah guna kuasa, kesalahan dokumentasi,kesilapan pentadbiran,pertikaian kontrak, dan keputusan komersial yang akhirnya gagal.

Jika semuanya dilihat dengan lensa jenayah yang sama, usahawan boleh menjadi terlalu takut untuk membuat keputusan. Negara memerlukan risk-taking yang bertanggungjawab.

Kalau seorang usahawan membuat keputusan perniagaan secara jujur berdasarkan maklumat yang ada pada ketika itu tetapi projek akhirnya gagal, kegagalan komersial tidak semestinya sama dengan rasuah. Sebab itu penyiasatan perlu melihat niat, fakta, transaksi, proses, bukti dan konteks keseluruhan.

Beberapa prinsip boleh kerajaan perkuatkan dalam membasmi sakau ini. Antaranya ialah meletakkan Standard penguatkuasaan yang konsisten, tidak kira kerajaan atau pembangkang, orang lama atau orang baharu, syarikat besar atau syarikat kecil, tokoh politik atau orang biasa. Undang-undang yang sama perlu digunakan.

Kerajaan juga perlu segera pisahkan penguatkuasaan daripada politik. Institusi penguatkuasaan perlu mempunyai ruang untuk menjalankan tugas berdasarkan bukti dan undang-undang tanpa campur tangan atau pengaruh mereka yang sedang berkuasa pada ketika itu.

Manakala ukuran kejayaan janganlah berdasarkan jumlah tangkapan. Kejayaan antirasuah sepatutnya diukur berdasarkan pengurangan rasuah, pemulihan aset, peningkatan integriti, keyakinan awam dan kecekapan kerajaan. Bukan sekadar berapa ramai yang ditahan.

Malaysia perlukan keberanian dan keyakinan — bukan ketakutan. Jadi membanteras “sakau” memang perlu. Tetapi kita perlu membanterasnya dengan sistem yang membuatkan orang baik berasa selamat untuk menjalankan perniagaan dan orang yang melakukan kesalahan tahu bahawa mereka tidak akan dilindungi.

Itulah keseimbangan yang sukar tetapi perlu. Kerajaan tidak boleh terlalu lembut sehingga pesalah berasa mereka boleh terlepas. Tetapi kerajaan juga tidak boleh mewujudkan suasana di mana pengusaha, pelabur dan pegawai kerajaan yang bertindak secara sah menjadi takut untuk membuat keputusan.

Semua bersetuju bahawa kita mahu sebuah negara yang bersih daripada rasuah, adil dalam penguatkuasaan, cekap dalam pentadbiran, mesra perniagaan, dan dipercayai oleh rakyat.

 

Pandangan dari ketua meja editorial BTular.com melambangkan tanggapan sesetengah rakyat Malaysia kini.

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img