spot_img
spot_img

30% syarat Bumiputera IPS dihapuskan, apakah mekanisme baru bagi pemain industri pendidikan Bumiputera

spot_img

PUTRAJAYA (21 Sept): Minimum 30% pemilikan ekuiti Bumiputera bukan lagi satu keperluan untuk syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Kementerian itu berkata keputusan itu dicapai susulan perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

“Penyesuaian ini dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan dan memastikan penyertaan kekal terbuka kepada semua pihak yang ingin menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara,” kata KPM dalam satu kenyataan pada hari Isnin.

- Advertisement -

Kementerian itu mengambil maklum tentang kebimbangan yang dibangkitkan mengenai keperluan ekuiti Bumiputera 30% untuk IPS tertentu yang dimiliki oleh syarikat sendirian berhad, seperti yang digariskan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada tahun 2006.

Namun ia membuka kepada satu persoalan dasar yang lebih besar:

Jika mekanisme 30 peratus itu tidak lagi digunakan, apakah mekanisme baharu yang akan memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam industri pendidikan swasta terus berkembang?

- Advertisement -

KPM dalam kenyataannya pada 21 September memaklumkan penyelarasan itu dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak.

Namun pada 22 September, timbul pula penjelasan daripada MITI bahawa kementerian itu tidak mempunyai makluman mengenai penyelarasan berkenaan dan bahawa dasar pemilikan ekuiti Bumiputera berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi melalui EPU.

Percanggahan ini sendiri menunjukkan bahawa penjelasan dasar yang jelas dan mekanisme pelaksanaan yang terang amat diperlukan.

Persoalan yang lebih penting ialah bagaimanakah kerajaan memastikan Bumiputera terus menjadi pemilik, pelabur, pengasas dan pengusaha dalam industri pendidikan swasta apabila syarat pemilikan minimum tidak lagi menjadi mekanisme utama? Ini penting kerana pendidikan swasta bukan sekadar sektor perkhidmatan. Ia merupakan industri yang mempunyai nilai ekonomi yang besar.

KPM sendiri mempunyai fungsi untuk mengawal selia dan membangunkan sektor pendidikan swasta serta menjadikan sektor tersebut sebagai penyumbang kepada ekonomi negara.

Maka, apabila pendekatan ownership berubah, pendekatan pembangunan usahawan Bumiputera juga perlu dilihat semula.

Kerajaan harus memastikan Bumiputera mempunyai kapasiti untuk memiliki dan membina syarikat pendidikan yang bernilai tinggi.

Ini selari dengan kerangka PuTERA35 yang menggunakan konsep penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera yang lebih bermakna, termasuk agenda peningkatan pemilikan ekuiti dan pembangunan bakat serta ekosistem pendidikan.

Persoalannya ialah bagaimana prinsip tersebut diterjemahkan secara khusus kepada industri pendidikan swasta. Beberapa mekanisme yang boleh dipertimbangkan kerajaan :

1. Dana Ekuiti Pendidikan Bumiputera

Kerajaan boleh mempertimbangkan satu dana khusus untuk sektor pendidikan swasta yang berfungsi sebagai co-investor, bukannya sekadar memberikan geran. Ini lebih bersifat pembangunan aset berbanding bantuan operasi semata-mata.

Kerangka PuTERA35 sendiri menyebut pengukuhan institusi pembiayaan ekuiti serta pengenalan Catalyst Fund bagi meningkatkan prestasi korporat, khususnya syarikat Bumiputera.

2. Insentif pelaburan, bukan syarat pemilikan

Jika matlamat penyelarasan baharu adalah untuk membuka ruang kepada lebih ramai pelabur, satu mekanisme lain ialah menggunakan insentif pasaran.

Contohnya, pelabur atau syarikat pendidikan yang mempunyai program pembangunan vendor, latihan usahawan atau pelaburan bersama dengan syarikat Bumiputera boleh diberikan insentif tertentu tertakluk kepada dasar kerajaan.

Dengan pendekatan ini, penyertaan Bumiputera tidak semestinya bergantung kepada syarat lesen.

Sebaliknya, ekosistem pasaran digunakan untuk mewujudkan lebih banyak peluang.

Jangan sampai Bumiputera hanya menjadi pekerja. Jika syarat pemilikan dikurangkan tetapi ekosistem pembangunan usahawan tidak diperkukuhkan, terdapat persoalan sama ada penyertaan Bumiputera akan kekal dalam bentuk guru, pensyarah, pekerja atau pengurus sahaja. Sedangkan pemilikan syarikat, teknologi, platform dan aset pendidikan semakin tertumpu kepada pihak yang mempunyai modal lebih besar.

Kesimpulannya, jika 30% bukan lagi mekanisme, apakah mekanisme penggantinya?

Jika kerajaan memilih untuk tidak lagi menggunakan syarat 30 peratus ekuiti sebagai mekanisme bagi kategori IPS tertentu, persoalan dasar yang wajar dijawab secara terbuka ialah:

Apakah mekanisme baharu kerajaan untuk memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam industri pendidikan swasta tidak berkurang dalam jangka panjang?

Jawapannya tidak semestinya perlu kembali kepada kuota 30 peratus. Ia boleh di dalam bentuk dana ekuiti, pembiayaan pertumbuhan, pembangunan founder, akses pasaran, vendor development, insentif pelaburan, pengembangan EdTech dan sistem pemantauan pemilikan.

Yang paling penting ialah matlamat akhirnya, bukan sekadar memastikan Bumiputera mempunyai 30% saham.

Tetapi memastikan wujud 100 syarikat pendidikan Bumiputera yang mampu berkembang, 1,000 usahawan pendidikan Bumiputera yang mampu membina kekayaan, dan generasi baharu pengasas Bumiputera yang mampu bersaing di pasaran terbuka.

Itulah persoalan yang lebih besar apabila Malaysia memasuki era pendidikan digital dan ekonomi berasaskan pengetahuan.

Jika dasar 30 peratus benar-benar sedang berubah, mekanisme penggantinya perlu lebih jelas daripada sekadar mengatakan bahawa pintu pendidikan kini terbuka kepada semua.

Kerana membuka pintu kepada semua adalah satu perkara.

Memastikan semua pihak mempunyai kapasiti untuk masuk, berkembang dan memiliki masa depan dalam industri tersebut adalah perkara yang berbeza.

 

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img