PETALING JAYA: Pas mungkin akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana parti itu tidak pernah konsisten dalam ‘persahabatan’.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa, perkara itu pernah berlaku kepada DAP dan UMNO sebelum ini.

(Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal)
Dipetik daripada Utusan Malaysia, beliau menjangkakan Pas akan meninggalkan Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, Pas berasakan mereka lebih kuat dengan majoriti ahli Parlimennya melebihi Bersatu dan menguasai empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Kekuatan itu tidak ada pada Bersatu malah terpaksa bergantung kepada kekuatan Pas yang memiliki jentera pilihan raya, akar umbi dan lain-lain. Mereka sentiasa bertukar-tukar pasangan setiap kali pilihan raya umum.
“Jadi tak mengejutkan jika Pas membuat keputusan untuk meninggalkan Bersatu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Bersatu yang masih berbaki juga terpaksa mengharapkan peruntukan daripada kerajaan negeri dipimpin oleh Pas namun tidak diberikan kerana parti tersebut ada pendiriannya tersendiri.
















