KUALA LUMPUR: Pandangan Kerajaan Perpaduan akan berdepan kesukaran dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya Datuk Seri Najib Razak dibebaskan sebelum pilihan raya negara, disangkal oleh penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Dr Shahbuddin Hamid.
“Tanggapan mereka bahawa kemungkinan penyokong PH tidak akan mengundi PH semula.. jadi mereka hendak undi siapa ? PAS ?”, katanya dalam pembuka bicara di dalam telefon dengan Berita Tular.
Menurut beliau, pola pengundi PH amat berbeza dengan pengundi Melayu bandar dan luar bandar.
”Kita perlu memahami, pengundi PH terdiri daripada sokongan jitu pengundi bandar dan bukan Melayu, mereka lebih fleksibel berdasarkan objektif mereka”, katanya.
Bagi pengundi segmen ini, mereka amat mementingkan kestabilan untuk ekonomi dan kemakmuran mencari kemajuan, manakala pengundi Melayu di kampung akan mengutamakan naratif kaum serta agama melebihi segalanya, tambah Dr Shahbuddin.
“Jika Najib bebas dan menyokong Perikatan Nasional, percayalah, PAS juga akan menggunakan peluang itu mendapat lebih ramai sokongan Melayu”, ujarnya.
Menurut Dr Shahbudin lagi, kerajaan perpaduan seharusnya memanfaatkan pengaruh Najib untuk mengoptimakan pengundi Melayu luar bandar.
”Najib masih ada pengaruh kepada orang Melayu kampung. BR1M, kedai 1 Malaysia dan pelbagai lagi inisiatif terus ke rakyat masih lagi dikenang oleh orang Melayu luar bandar. Atau setidak-tidaknya Najib dapat membantu kerajaan supaya orang Melayu di negeri Pahang tidak beralih kepada PN”, katanya lagi.
Beliau mempersoalkan apa bezanya keluar bebas sebelum PRU16 dan selepas PRU16 kerana umum telah pun mengetahui bahawa Najib akan tetap bebas juga seperti tarikh yang diumumkan. Baginya adalah lebih baik memanfaatkan kebebasan Najib untuk menghadapi PRU16.
Tetapi Dr Shahbuddin kembali kepada asas iaitu pengampunan tersebut diluluskan oleh Lembaga Pengampunan, bukan kerajaan. “Tetapi kerajaan yang memerintah sekarang tetap ada pengaruh di lembaga pengampunan itu”, tambahnya.
“Masyarakat bukan Melayu terutamanya Cina akan tetap mengundi DAP, tidak mungkin mereka akan mengundi PAS atas faktor pembebasan Najib semata-mata jika DAP tidak bersama parti Islam itu. Dr Shahbuddin juga berkata jika Najib membantu kempen kerajaan untuk segmen pengundi orang Melayu, sekurang-kurangnya kawasan pantai barat semenanjung hingga ke Johor, UMNO boleh mendapat undi Melayu dengan meningkat”, ujarnya yakin.
Apabila ditanya jika pembebasan awal itu memberi impak buruk kepada kempen kerajaan perpaduan dalam menghadapi PRU16 kelak, beliau berkata “Keluar selepas PRU16 pun akan dijadikan senjata kempen oleh PN kepada kerajaan kerana hukuman telah pun dikurangkan”.
Tambahnya, PH mempunyai pengundi yang matang dan pengundi bandar yang mengutamakan kehidupan yang selesa. Mereka menilai dari segala segi, tidak seperti pengundi Melayu di kampung atau sesetengah di bandar yang lebih mengutamakan sentimen kaum dan agama.
“Saya yakin jika Najib keluar lebih awal dan berkempen untuk kerajaan perpaduan, pengundi PH tetap mengundi PH, dan ada peningkatan undi orang Melayu. Pembangkang tidak akan berjaya menarik pengundi majoriti PH”, katanya.
Dr Shahbuddin menekankan betapa pentingnya untuk memenangi pilihanraya dengan selesa dengan bermajoriti tinggi bagi menjamin kestabilan negara.
“Kestabilan kerajaan hingga cukup penggal adalah ubat kepada kemasukan pelabur dan pengukuhan Ringgit Malaysia. Maka tiada yang akan cuba untuk menggulingkan kerajaan lagi”, katanya.
Najib akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.
Dendanya yang pada mulanya ditetapkan RM210 juta, juga telah dikurangkan kepada RM50 juta.
Bagaimanapun, ia berkata jika denda itu tidak dibayar, tempoh penjara Najib akan dilanjutkan setahun, bermakna dia akan dibebaskan pada 23 Ogos 2029.
Zahid sebelum ini menggesa kerjasama padu antara PH dan BN menjangkaui PRU16 yang menunjukkan Kerajaan Perpaduan masih akan bekerjasama untuk pilihan raya.
Sementara itu, dipetik dari New Straits Times, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata rakyat tidak akan bertindak balas negatif terhadap kerajaan kerana hak untuk merayu pengampunan dijamin oleh undang-undang untuk semua orang.
“Lembaga Pengampunan telah menyemak secara adil dengan tidak melepaskan Najib, tetapi mengurangkan hukuman dan penalti dengan syarat tertentu.
“Jadi saya rasa orang ramai akan rasa okey dengan keputusan lembaga itu,” katanya.
















