PETALING JAYA: Akar umbi Bersatu sebenarnya tidak senang apabila bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin terus ditawarkan kerusi dalam Majlis Tertinggi parti itu baru-baru ini.
Dua pemimpin bahagian Bersatu, yang dipetik dari FMT yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata tawaran itu tidak begitu baik kerana Khairy bukan ahli Bersatu.
“Terdapat ramai lagi ahli yang telah bekerja keras untuk parti itu mendapatkan kerusi (kemenangan), dan kini ditawarkan pula kepada seseorang yang masih belum menjadi ahli Bersatu,” kata seorang ketua bahagian Selangor.
Beliau berkata walaupun presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mungkin telah membincangkan perkara itu dengan pemimpin kanan, parti itu juga sepatutnya melibatkan akar umbi sebelum mengumumkan tawaran itu.
“Apabila pilihan raya, akar umbilah yang paling banyak melakukan kerja, daripada bercakap dengan pengundi hingga memasang bendera, dan sebagainya.
“Nampak tidak elok keputusan sebesar ini dibuat tanpa mendengar suara akar umbi,” katanya.
Seorang lagi ketua bahagian dari Negeri Sembilan menjangkakan parti itu akan menawarkan Khairy kerusi pada pilihan raya negeri jika beliau menerima tawaran Muhyiddin.
“Ini akan mengecewakan ramai ahli, yang mungkin berharap untuk mendapat pencalonan kerusi (untuk bertanding),” katanya.
Tindakan sedemikian mungkin menimbulkan mogok dalaman dan mempertaruhkan perpaduan parti, tambahnya.
Bagaimanapun, seorang ahli Majlis Tertinggi yang juga enggan dikenali berkata tawaran itu adalah satu langkah positif yang akan menguntungkan parti.
“Kami akan menghadapi pilihan raya di enam negeri, jadi mempunyai seseorang seperti Khairy di pihak kami adalah baik untuk parti.
“Dia nampaknya menjadi kegemaran orang ramai. Dia seorang tokoh popular dan itu bagus untuk kita, terutama pada masa sukar seperti sekarang,” katanya merujuk kepada dakwaan beberapa pemimpin tertinggi Bersatu yang terpalit dengan dakwaan rasuah.
Ketua sayap ahli bersekutu Bersatu itu juga mengalu-alukan semua usaha yang bertujuan meningkatkan peluang parti untuk menang pada pilihan raya.
“Walaupun Bersatu mempunyai ramai pemimpin berkarisma dan berpengalaman dalam Majlis Tertingginya, pemimpin kita mesti mengambil kira nilai Khairy dari segi membawa lebih banyak undi,” kata Chong Fat Full yang dipetik dari FMT.
Minggu lalu, Muhyiddin sekali lagi mempelawa Khairy menyertai Bersatu dan menawarkannya kerusi Majlis Tertinggi. Bagaimanapun, Khairy berkata beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkan masa depan politiknya, sambil menambah bahawa kembali ke politik mesti seiring dengan aspirasi politiknya, dan tidak ditentukan oleh emosi atau keperluan untuk membalas dendam.
Parti Bersatu ditubuhkan sebelum Pilihanraya ke 14 lalu dan dikuasai oleh bekas pemimpin-pemimpin kanan UMNO yang dibuang kerana tidak bersetuju dengan Presiden UMNO ketika itu berkenaan isu 1MDB iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak. Sejak itu kekuatan parti itu dilihat terlalu bergantung kepada ‘pemimpin import‘ dari parti lain, lebih ketara setelah berlakunya Langkah Sheraton. Bersatu dikatakan menghadapi cabaran dalam membangunkan akar umbi dan penambahan ahli kerana tidak diberi perhatian oleh kepimpinan tertinggi mereka.
















