Kemungkinan besar PAS di bawah Perikatan Nasional (PN) akan menyapu bersih di semua kerusi DUN di Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya negeri akan datang. Semalam, apabila isu Kalimah Allah ‘dibangkitkan’ kembali oleh kerajaan perpaduan dengan tidak meneruskan rayuan penentangan penggunaannya oleh bukan Islam, negeri Kedah juga mungkin akan kekal di bawah pentadbiran PAS.
Pada pilihan raya negeri 2018, PAS memenangi 37 kerusi berbanding 8 dimenangi Barisan Nasional (BN) di DUN Kelantan yang dianggotai 45 orang. Di Terengganu, PAS menang 22 berbanding 10 kerusi BN.
Manakala kerajaan Kedah pula bertukar setelah negara diambil alih oleh kerajaan PN selepas PH 1.0. Ia terhasil dari kerjasama BERSATU, PAS, BN dan sebahagian PKR. Ia bermula daripada BERSATU keluar dari PH 1.0, sama seperti peringkat persekutuan ketika itu.
Bagaimanapun, “gelombang hijau” sokongan PAS yang melanda semasa pilihan raya umum 2022 menyaksikan PN memenangi kesemua 14 kerusi parlimen di Kelantan dan kesemua lapan di Terengganu.
Sekiranya corak pengundian kekal sama, kemungkinan besar PN akan memenangi semua kerusi yang ada di Kelantan dan Terengganu, ‘menghalau’ Umno sepenuhnya dan memastikan tiada parti lain selain PAS atau Bersatu akan mempunyai perwakilan di kedua-dua negeri itu.
Kelantan, Kedah dan Terengganu bukanlah negeri yang kuat untuk Bersatu, jadi kemungkinan besar majoriti kerusi di kedua-dua negeri akan diberikan kepada PAS. Bersatu, di mana ia bertanding, kemungkinan besar akan berkempen di bawah bendera PAS.
Umno telah kehilangan juara tempatannya di Kelantan seperti Tengku Razaleigh Hamzah, yang tewas tipis kepada Azizi Abu Naim di kerusi lamanya di Gua Musang, dan Mustapa Mohamed yang memilih untuk bersara daripada politik dan tidak bertanding dalam pilihan raya lagi.
Isu tempatan tidak akan memihak kepada kerajaan perpaduan
Banjir dan isu air di negeri-negeri ini telah menjadi isu lama, dan sementara Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menawarkan bantuan persekutuan ramai yang merasakan bahawa seperti kerajaan terdahulu, masalah itu tidak diambil serius di peringkat persekutuan.
PAS boleh berhujah bahawa sebahagian besar pembiayaan negeri kepada Kelantan, Kedah dan Terengganu telah disalurkan melalui agensi persekutuan dan bukannya terus ke negeri. Ini telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat tempatan yang perlu dihadapi oleh Anwar.
Kerajaan PH juga pernah mengkritik pemuda-pemuda yang mengundi PN sebagai kurang cerdik. Ini mengurangkan lagi sokongan anak muda kepada kerajaan.
Umno pula mengalami penurunan sokongan yang paling rendah di kedua-dua negeri itu. Kini bersekutu dengan PH, akar umbi mereka masih belum seratus peratus saling bekerjasama. Parti Amanah yang bermula sebagai puak serpihan PAS, tidak mempunyai ramai penyokong, sama seperti parti Bersatu di gabungan PN.
Mesej mereka adalah asing kepada pengundi. Isu yang diminati pengundi bandar, seperti pembasmian rasuah, salah guna kuasa dan nepotisme dalam kerajaan, tidak memberi kesan kepada penduduk Melayu luar bandar. Terdapat kegagalan mendalam untuk memahami jiwa pengundi pantai timur dan Melayu kampung di Kedah.
Pengundi bandar kelas pertengahan dan profesional melihat retorik pemimpin PAS Abdul Hadi Awang sebagai memecahbelahkan dan menentang masyarakat majmuk di Malaysia. Walau bagaimanapun, mesej Hadi tentang kerajaan berasaskan Islam memberi kesan yang baik di pantai timur dan negeri-negeri di utara semenanjung.
Begitu juga sikap ‘keras’ Menteri Besar Kedah terhadap kerajaan perpaduan. Majoriti penduduk Melayu Kedah berasa ‘bangga’ akan karektor yang ditunjolkan pemimpin PAS itu. Ia dilihat memperjuangkan hak orang Kedah.
Ditambah lagi isu yang tidak sepatutnya dimainkan oleh Menteri Dalam Negeri semalam. Ia menjadi senjata kepada PN untuk menggunakannya kepada pengundi kampung yang tidak akan memahami dengan jelas walau apa pun penjelasan serta rasional akan tindakan kerajaan menarik balik rayuan penggunaan kalimah Allah itu. Ia adalah isu yang merugikan kerajaan perpaduan.
Pengundi di pantai timur dan perkampungan di Kedah tidak akan terpengaruh dengan skandal kewangan pemimpin-pemimpin PN. Bagi mereka itu adalah pendakwaaan terpilih atau balas dendam.
Mungkin satu-satunya cara yang berkesan bagi mana-mana ‘kerajaan perpaduan’ untuk meningkatkan pengaruhnya di negeri-negeri Melayu ialah dengan membawa PAS ke dalam pangkuannya. Ini kerana PAS terbukti merupakan talian hayat yang berjaya untuk Bersatu dan Perikatan Nasional kini.
















