SHAH ALAM: Tidak semua orang Melayu itu malas, itu adalah kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung stigma negatif dilontarkan bekas Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh itu terhadap bangsa Melayu yang disifatkan sebagai malas dan mudah lupa.
Beliau mempersoalkan adakah Melayu ini malas, tidak berterima kasih, mudah lupa, dan pelbagai lagi tohmahan negatif ini.
“Betul ke budaya Melayu begitu? Ada profesor Melayu di sini. Tak betul”, kata Perdana Menteri dalam sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM.
Perdana Menteri berkata, semua bangsa mempunyai kelemahan dan masalah sama namun itu tidak menghalang setiap bangsa melahirkan tokoh-tokoh besar dan intelektual yang ramai.
Jadi sebagai pemimpin adalah tidak wajar untuk ‘menghina’ dengan stigma negatif terhadap sesuatu kaum, tegas PM.
Dalam perkembangan berkenaan saman Tun Dr Mahathir terhadap dirinya, beliau akan memberikan bukti berhubung kenyataan dibuatnya terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjawab notis tuntutan yang diberikan kepadanya pada 27 Mac lalu.
Terdahulu, Dr. Mahathir dilaporkan menghantar notis tuntutan kepada Anwar berhubung kenyataan Ahli Parlimen Tambun itu yang didakwa sebagai fitnah terhadapnya ketika berucap dalam Kongres Nasional Khas PKR 2023, baru-baru ini.
Menurutnya, biarpun Anwar tidak menyebut namanya tetapi berdasarkan laporan akhbar, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya seperti kekayaan berbilion ringgit, agih kepada keluarga, anak, tidak membayar cukai dan melarikan duit ke luar negara.
















