PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk memalukan pihak lain.
Baginda bertitah bahawa kebebasan untuk memberi komen datang bersama tanggungjawab, dan menyeru pengguna media sosial agar berinteraksi dengan penuh rasa hormat serta berhemah, lapor Bernama.
“Jangan jadikan media sosial sebagai platform untuk menghina, mencarut, memburuk-burukkan atau memalukan orang lain.
“Perbezaan pendapat bukanlah alasan untuk bermusuhan. Kita mungkin tidak sependapat, namun pandangan haruslah dizahirkan menggunakan bahasa yang sopan dan penuh hormat.
“Jika ingin mengkritik, lakukanlah secara membina. Jika ingin menegur, lakukanlah dengan berhemah dan penuh pertimbangan,” titah baginda.
Sultan Ibrahim, yang juga Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), bertitah demikian susulan penyalahgunaan media sosial oleh pihak-pihak tertentu untuk menghasut, menyebarkan kebencian, dan mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-105 di UiTM Shah Alam hari ini.
















