spot_img
spot_img

RM130juta untuk penggiat seni tanahair

spot_img

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Peruntukan melebihi RM130 juta di bawah Belanjawan 2027 untuk industri perfileman, muzik dan kreatif tempatan merupakan langkah tepat pada masanya bagi meningkatkan sumbangan sektor tersebut terhadap pertumbuhan ekonomi serta pembangunan bakat.

MyCreative Ventures dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa sokongan kerajaan itu akan membantu penggiat industri mengasah bakat mereka, menghasilkan kandungan berkualiti tinggi, serta membina perniagaan kreatif yang lebih berdaya tahan dan mampan.

“Dalam industri yang semakin dipengaruhi oleh teknologi, kandungan digital dan persaingan global, kreativiti tidak seharusnya terhad kepada penghasilan karya semata-mata, malah perlu menjana nilai ekonomi yang lebih besar,” katanya.

- Advertisement -

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt, mengumumkan peruntukan melebihi RM130 juta untuk menyokong industri perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan, dengan matlamat mengangkat imej Malaysia, mewujudkan peluang pekerjaan, serta mengetengahkan kisah-kisah Malaysia kepada khalayak global.

Mengenai pengecualian penuh duti hiburan ke atas tiket tayangan filem tempatan dan persembahan teater di Wilayah-Wilayah Persekutuan, MyCreative Ventures menyatakan bahawa langkah tersebut akan membantu merangsang permintaan terhadap karya tempatan, meluaskan akses orang ramai kepada kandungan berkualiti, serta meningkatkan pendapatan penggiat industri.

“Lebih penting lagi, inisiatif ini akan membantu membina pasaran domestik yang lebih kukuh, sekali gus membuka jalan bagi karya dan bakat kreatif Malaysia untuk memperluas jangkauan mereka.

- Advertisement -

“MyCreative Ventures akan terus menyokong pembangunan ekonomi kreatif negara melalui penciptaan nilai, pengukuhan keupayaan industri, pembangunan dan pengkomersialan harta intelek, serta akses yang lebih luas kepada pasaran dan peluang perniagaan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan MyCreative Ventures, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata peruntukan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk membangunkan industri kreatif menjadi sektor yang kompetitif dan bernilai tinggi, yang menyumbang secara lebih signifikan kepada ekonomi negara.

 

 

Sumber — Bernama

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img