TNG Digital telah bekerjasama dengan KK Mart untuk membayar pekerja migran melalui TNG eWallet di seluruh Malaysia.
Langkah ini memperluas akses gaji digital untuk pekerja yang mungkin tidak mempunyai akaun bank, sambil memberi majikan pilihan pembayaran gaji diplatform yang diiktiraf.
TNG eWallet telah diiktiraf oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia sebagai salah satu penyelesaian pembayaran gaji yang diiktiraf untuk majikan sejak Ogos 2024.
Alan Ni, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital berkata,

“Banyak komuniti yang tidak mempunyai akaun bank, seperti pekerja migran, menghadapi cabaran apabila melibatkan pembukaan akaun bank atau penerimaan gaji dengan selamat. Dengan menyediakan pembayaran gaji melalui TNG eWallet, kami memperkasakan mereka dengan kawalan kewangan, keselamatan dan kemudahan.
Kami berbangga untuk menyokong perjalanan KK Mart dalam memenuhi keperluan sebenar di lapangan, bermula dengan sesuatu yang asas seperti menerima bayaran. Ini lebih daripada sekadar kerjasama, ia merupakan langkah ke arah ekonomi digital yang lebih inklusif.”
Di bawah pengaturan ini, gaji dibayar terus ke dalam akaun TNG eWallet pekerja, sekali gus mengurangkan pengendalian tunai dan memberi pekerja akses yang lebih pantas kepada pendapatan mereka.
Lebih 160,000 pekerja migran di Malaysia telah menerima gaji melalui TNG eWallet, dengan jumlah pembayaran gaji melalui platform ini mencecah RM4.8 bilion pada tahun 2025.
KK Mart merupakan antara rangkaian runcit utama pertama di Malaysia yang menerima pakai pembayaran gaji berasaskan e-dompet secara berskala besar.
Langkah ini dijangka akan memperkemas proses gaji dan mengurangkan kerja pentadbiran.
Pekerja yang dibayar melalui TNG eWallet boleh menggunakan wang mereka di TNG untuk membuat pembelian, memindahkan wang dan mengakses perkhidmatan yang dikaitkan dengan nombor akaun DuitNow mereka tanpa memerlukan akaun bank tradisional.
“Di KK Mart, kami komited untuk membawa perubahan dalam kehidupan pekerja kami.
Dengan menerima pakai TNG eWallet sebagai salah satu kaedah pembayaran gaji, kami menghapuskan halangan yang dihadapi oleh ramai pekerja asing dengan perbankan tradisional dan memastikan mereka dibayar selamat dan tepat pada masanya,” kata Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan, Pengasas dan Pengarah KK Supermart & Superstore Sdn Bhd.
Selain pembayaran gaji, TNG Digital berkata e-wallet juga menawarkan perkhidmatan yang digunakan oleh pekerja immigran di Malaysia, termasuk pengiriman wang, tambah nilai mudah alih dan akses kepada Kad Visa Touch ‘n Go eWallet untuk transaksi global dan pengeluaran ATM.
















