KUALA LUMPUR: Seorang peniaga kini berdepan hukuman penjara selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Setiu, Terengganu hari ini atas pertuduhan membuat laporan polis palsu terhadap usahawan terkenal, Azlan Al Amin, berkaitan dakwaan penipuan hartanah milik bapanya yang dilakukan lima tahun lalu.
Tertuduh, Shahruldi Mahafiz Ramli, 53, yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju lokap dan dalam keadaan bergari, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Mengikut kertas pertuduhan, Shahruldi didakwa memberikan maklumat bertulis yang diketahuinya adalah palsu kepada pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu pada tahun 2021. Perbuatan itu dilakukan dengan niat supaya penjawat awam menggunakan kuasanya untuk mendatangkan kegusaran kepada individu lain.
Atas kesalahan tersebut, dia dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan. Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyim Irfan Baharuddin, bagaimanapun memohon jaminan yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh.
Majistret Iffah Nabihah kemudiannya membenarkan Shahruldi diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.
Kes ini berakar umbi sejak tahun 2021 apabila Shahruldi membuat laporan polis mendakwa Azlan Al Amin telah menipu dalam urusan hartanah milik bapanya. Walau bagaimanapun, pada Disember 2025, Azlan tampil membuat laporan polis balas bagi memohon siasatan dijalankan semula terhadap laporan asal Shahruldi yang didakwa bersifat fitnah dan berniat jahat.
Terdahulu, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Shahruldi selepas beliau gagal menghadirkan diri dalam sesi perbicaraan sebelumnya walaupun telah diarahkan. Susulan itu, dia ditahan oleh pihak polis di kediamannya di Puchong pada 11 April semalam, sebelum dibawa ke lokap IPD Setiu untuk pendakwaan hari ini.
















