KUALA LUMPUR, 29 Jan — Peralihan daripada subsidi petrol RON95 pukal kepada subsidi bersasar melalui BUDI MADANI (BUDI95) dijangka dapat mengurangkan kebocoran subsidi dan menjana penjimatan fiskal sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, kata Kementerian Kewangan.
Ia berkata ini tertakluk kepada pergerakan harga minyak mentah dunia dan kadar pertukaran mata wang.
“Penjimatan ini bukanlah hasil daripada perlindungan yang berkurangan untuk rakyat, tetapi sebaliknya hasil daripada penyasaran subsidi yang lebih tepat kepada kumpulan yang layak,” jelasnya dalam jawapan yang disiarkan di laman web parlimen kepada soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai jumlah subsidi untuk petrol RON95 selepas rasionalisasi dilaksanakan pada akhir September dan berapa banyak penjimatan yang akan berlaku daripada rasionalisasi petrol tersebut.
Kementerian itu menambah bahawa dari segi menentukan harga petrol RON95, harga runcit RON95 masih ditentukan berdasarkan mekanisme penetapan harga automatik (APM), yang mengambil kira harga minyak mentah dunia, kos penapisan, kos pengedaran dan kadar pertukaran mata wang.
Dalam konteks rasionalisasi subsidi, pelaksanaan BUDI95 tidak mengubah mekanisme APM, sebaliknya menambah baik kaedah pengagihan subsidi yang terhasil daripada mekanisme tersebut.
Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengawal pertumbuhan perbelanjaan subsidi dengan lebih berkesan, terutamanya dalam situasi di mana harga minyak mentah dunia meningkat semula, katanya.
Sumber — Bernama
















