spot_img
spot_img

PayNet bangunkan AI dengan universiti

spot_img

KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), rangkaian pembayaran utama Malaysia yang dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mahu membangunkan bakat berkaitan kecerdasan buatan (AI) di negara ini menerusi kerjasama institusi pengajian luar negara dan tempatan.

Ketua Kakitangan PayNet, Dr Endry Lim Zhen Wen, berkata kebanyakan sumber bakat dan pelaburan berkaitan AI lebih tertumpu di negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Malah, pihaknya juga menyedari bahawa masih terdapat bakat yang bagus berkaitan AI pada peringkat akademik, justeru menarik minat PayNet untuk bekerjasama dengan universiti di AS dan Eropah bagi tujuan itu.

- Advertisement -

Menurutnya, PayNet kini menjadi sebahagian pakatan AI yang dipercayai di Imperial College London, selain bekerjasama dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT) di AS.

Beliau berkata, meskipun penyelidikan canggih yang dijalankan di institusi pengajian tinggi luar negara itu belum mempunyai penyelesaian, namun ia memberi panduan mengenai hala tuju dalam tiga hingga lima tahun akan datang.

“Dengan universiti tempatan pula, kami sedang dalam rundingan dengan pelbagai institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) bagi membangunkan bakat tempatan. Kami sedang membentuk kurikulum yang dilaksanakan melalui salah satu inisiatif yang dipanggil PayNet Akar.

- Advertisement -

“Kami memahami dan menyedari bahawa kita tidak cukup bakat untuk AI. Jadi, salah satu perkara utama yang kita lancarkan ialah program Microsoft dengan PayNet Akar,” katanya kepada BH dalam satu temu bual.

Mengulas lanjut, Zhen Wen berkata, adalah sangat penting untuk sentiasa mengembang dan meningkatkan bakat tempatan.

Justeru, pihaknya menggalakkan syarikat teknologi terkemuka yang beroperasi di negara ini supaya melakukan pemindahan pengetahuan bagi membangunkan bakat tempatan.

“Jika mereka datang melabur, tetapi bakat tidak cukup, bagaimana hendak beroperasi. Justeru, penting membangunkan bakat tempatan,” katanya.

Seterusnya, Zhen Wen berkata, ramai bakat berkaitan AI juga berada di luar negara, justeru mendorong PayNet untuk bekerjasama dengan pihak akademik di luar Malaysia.

Beliau turut mencadangkan supaya laluan khas disediakan bagi memudahkan kemasukan bakat luar dan bakat Malaysia yang berada di luar negara untuk bekerja di negara ini dalam bidang AI.

Program Akar dilancarkan pertama kali oleh PayNet dengan kerjasama AWS pada Julai 2024, yang tertumpu kepada pembayaran digital dan teknologi awan.

Baru-baru ini, PayNet melancarkan fasa kedua program itu, yang dipacu Microsoft sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan kemahirannya, ‘AI for Malaysia’s Future’ (AIForMYFuture), memperluas skop program itu kepada bidang AI dan sains data.

Justeru, kerjasama itu mencerminkan komitmen PayNet untuk terus berada di hadapan perubahan industri dan membangunkan bakat digital yang memenuhi keperluan ekosistem kewangan Malaysia yang sentiasa berkembang.

 

Sumber : Berita Harian

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img