PULAU PINANG, 12 Dis — Veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang masih belum bersara dari arena politik. Kenyataan terbaru beliau berhubung bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri, mencetus sensasi dan polis terpaksa memanggil beliau untuk beri keterangan terhadap ucapannya itu.
Walaupun Kit Siang menafikan bersikap provokatif, namun rata-rata masyarakat faham bahawa ia merupakan suatu ‘kenyataan perlu’ untuk para penyokong dan pendokong DAP. Tiada kesan negatif kepada politik parti itu.
Tetapi ia sekali lagi memberi liabiliti kepada komponen parti Melayu di dalam kerajaan perpaduan, terutama UMNO. UMNO kelu tidak berbunyi di dalam soal ini. Membuatkan orang Melayu makin menjauh dari UMNO.
Lim Kit Siang berkata adalah fakta bahawa orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri kerana perlembagaan tidak menghalang akan perkara itu. Tetapi dengan situasi dan suhu politik sekarang, amatlah tidak bijak mengeluarkan kenyataan sedemikian. Kit Siang mengeluarkan ucapan itu kepada pelajar Malaysia di Manchester, United Kingdom bulan lepas.
Menurut Shauqi Ithnin, 38, pelajar jurusan Sarjana Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Perdana Menteri bukan Melayu amat sukar diterima penduduk majoriti di negara ini terutamanya Melayu.
“Ini adalah kerana bukan Melayu di negara ini tidak mengasimilasikan diri mereka sepenuhnya sebagai orang Melayu, tidak berbahasa Melayu dengan fasih dan tidak mengamalkan cara hidup serta budaya orang Melayu”, katanya.
Shauqi berkata ia bagaikan tembok pemisah. “Lihat sahaja dari segi bahasa, terutamanya orang-orang Cina di negara ini, yang kini majoritinya begitu janggal di dalam bertutur di dalam bahasa kebangsaan. Mereka fasih dan bangga berbahasa Mandarin serta Inggeris sahaja. Tiada jati diri dan kesungguhan dalam mengasimilasi diri mereka kepada budaya majoriti Malaysia iaitu Melayu”, tambahnya lagi.
Kit Siang memberi contoh di Amerika Syarikat di mana kaum kulit hitam boleh menjadi Presiden mereka, Shauqi mengingatkan Kit Siang bahawa Barrack Obama mempunyai bahasa, budaya dan agama yang sama dengan penduduk majoriti Amerika Syarikat. “Obama tidak merayakan perayaan lain selain Christmas, Obama berbicara fasih bahasa Inggeris dan mengikut budaya kaum majoriti negara itu”, kata Shauqi sambil menambah bahawa harapan Kit Siang, agar Perdana Menteri Malaysia bukan dari keturunan Melayu berlaku tidak lama lagi, adalah meleset.
“Selagi bangsa Cina di Malaysia lebih berpaksi negara nenek moyang mereka akan budayanya, selagi sekolah satu aliran tidak direalisasikan, selagi itulah jurang jauhnya kaum untuk percaya-mempercayai antara satu sama lain tidak akan berjaya, apatah lagi mengambil kaum minoriti itu menjadi ketua negara. Jangan mimpi di siang hari”, tegas Shauqi.
















